0
Teks : Wan Syahida Kahar


Assalamualaikum.

Lama saya tak coret-coret cerita dan tips kat sini. Sejak dua menjak ni saya pun agak huru-hara. Biasanya kalau suami saya kerja waktu pejabat, saya akan lebih tenang dan damai sebab dia akan banyak membantu sebaik sahaja pulang dari kerja. Biasanya pada pukul 6 petang. Tapi kalau dia ada kes-kes di hospital sehingga lewat malam selepas Maghrib atau selepas Isyak, maka di situ lah saya akan alami sedikit susah atau kadang-kadang banyak susahnya sebab waktu tu saya kena berkejar untuk siap mandi-mandikan anak, mandi diri sendiri, siapkan juadah makan malam dan mengemas-ngemas rumah sebelum suami saya pulang. Kadang-kadang, waktu yang paling kalut ni lah anak nak menyusu lah, anak nak berak lah, ada orang telefon bertanya tentang homestay lah, dan macam-macam. Semuanya saya perlu pandai uruskan sendirian dan dengan secepat yang mungkin selagi mana saya terdaya. 

Tapi walaupun semua ni saya kena buat sendiri dengan cepat-cepat, Alhamdulillah saya tak berasa ralat kalau hari itu berlalu pergi sebab saya masih sempat mengajar anak saya. Tak kira lah mengajar mengaji ke, mengajar perbuatan yang baik, ajar bercakap, ajar kemas rumah atau ajar apa yang saya sedang buat di dapur. 

Antara tipsnya,

1. Setiap perkara yang anda lakukan di rumah, cuba libatkan anak anda. Waktu mengemas rumah, ajak dia kemas rumah sekali atau kemaskan barang-barang mainannya bersama-sama. Ketika anda ingin menyapu lantai, cuba minta tolong anak untuk ketepikan barang-barang yang menghalang (barang mainannya biasanya atau buku-buku yang bertaburan di atas lantai) supaya memudahkan kerja anda untuk menyapu. Dalam masa yang sama, anda mendidiknya untuk menolong meringankan kerja orang lain dan mengajarnya mengemas. Anda mengajarnya untuk rajin dan prihatin.

2. Selesai melipat kain, ajak anak anda untuk menyimpan baju-bajunya di dalam almari. Beritahunya dengan kerap bahawa kita basuh baju supaya baju kita bersih, kita rasa selesa, wangi, dan sebagainya. Kebersihan itu kan sebahagian daripada iman. Benda-benda kecil macam ni boleh ajar anak kita yang masih kecil itu. Ajar anak menyusun, ajar untuk 'organize'. Ajar anak untuk mencari bajunya.

3. Ketika anda masak, kalau anak anda ingin nak menyibuk, izinkannya sahaja. Kadang-kadang anak saya sibuk nak tengok apa yang saya masakkan. Jadi dia ambil kerusi dan panjat di atasnya supaya dia dapat lihat dengan lebih jelas apa yang saya sedang masak waktu itu. Sambil memasak, saya cerita-cerita sahaja yang saya masak sayur (sambil bagitahunya kebaikan makan sayur), saya goreng ayam, goreng ikan, masak kari atau sebagainya. Dah nama anak pun perempuan, jadi bab-bab ni elok la kenalkan. Saja berjinak-jinak dengan kerja di dapur. Anak saya pun dah faham bila saya siang ikan, bersihkan ayam, buangkan lemak dan sebagainya.

4. Ketika anda sedang menyeterika baju, beritahu anak tentang panas dan benda yang sangat panas. Fahamkannya tentang bahaya dan keselamatan diri. Beritahunya bahawa ada benda atau alat yang kita tak boleh main-main atau pegang-pegang. Beritahunya tentang suis dan plug. Anak-anak kecil perlu juga diajar sikit-sikit tentang bahaya di dalam rumah. Mana lah tahu bila ada adik yang sedang bermain nanti, pandai la dia untuk tolong menghalang atau tolong tengok-tengokkan.

5. Apabila anak sedang menonton TV, kawal dia supaya jangan tonton terlalu dekat atau dalam keadaan gelap (tak pasang lampu) agar tidak rosak matanya. Biasanya kita melipat kain di hadapan TV. Jadi sambil-sambil anda sedang melipat kain, ajarkan anak apa yang patut dan tidak patut. Begitu juga dengan gadget atau tablet, pastikan jarak mata yang selamat. Ketika anak sedang menonton kartun kegemarannya, cuba berkongsi dengannya apa yang sedang ditontonnya. Cuba selami apa yang sedang difikirkan anak tentang apa yang dilihatnya.

6. Selepas anda selesai menunaikan solat, atau mungkin sebelum anda menunaikan solat, ketika anda sedang menunggu waktu solat tiba, anda boleh gunakan masa tu untuk terus mengajar anak mengaji Al-Quran atau Al-Furqan. Anda boleh jimatkan masa dengan terus mengajar sewaktu anda dah siap mengambil wudhu dan memakai telekung. Jika pada waktu lain, anda perlu bersiap-sedia sekali lagi pula. Saya selalu buat begini. Ajak anak mengambil naskhah Al-Qurannya sewaktu saya dah siap-siap pakai telekung. Kadang-kadang, anak yang beria nak baca Al-Quran. Jadi saya memintanya untuk menunggu saya selesai solat dahulu, kemudian baru saya akan mengajarnya. Dah banyak jimatkan masa saya jika pada waktu tu juga dia sudi nak baca Al-Quran. 

7. Seboleh-bolehnya, siapkan semua kerja yang penting sewaktu anak-anak masih belum bangun daripada tidur. Biasanya kerja di dapur, kemas-kemas rumah, susun atur barangan rumah dan sebagainya. Lakukan dengan secepat yang mungkin. Jangan tangguh-tangguhkan sebarang kerja. Jika pada masa itu anda lihat baju belum berbasuh, lakukannya segera. Jika anda lalu ke ruang tamu dan lihat barang bersepah-sepah, kemaskan pada waktu itu juga. Jika anda masuk ke dapur sebelum waktu tengah hari, segera keluarkan lauk untuk dimasak daripada freezer agar anda tidak terlupa atau terlewat untuk sediakan juadah makan tengah hari. Jika anda lihat tong sampah telah penuh, ikatkannya dengan segera dan buang di luar. Pendek kata, lakukan segera mana yang sempat. Jangan tangguhkan kerja.

Mendidik anak di rumah bukanlah terhad kepada mengajar anak membaca, mengaji, atau bermain sahaja. Tetapi mendidiknya untuk berakhlak baik, mendidiknya perkara yang betul dan salah, mendidiknya kemahiran-kemahiran hidup, mendidiknya untuk membantu menjaga adik, semua ini juga adalah penting untuk mereka. Cuba lakukan dengan penuh hikmah dan sabar supaya anak juga dapat belajar untuk bersabar dan mencontohi kita. Lakukan dengan kasih sayang supaya anak belajar erti disayangi dan belajar untuk menyayangi. Kerenah anak ni memang macam-macam. Tapi kita sebagai ibu lah yang paling penting peranannya untuk membentuk anak-anak kita membesar menjadi anak yang baik.

Yang paling penting adalah kita sedang membentuk generasi anak-anak yang baik akhlaknya dan cemerlang peribadinya. Insya Allah. Sememangnya kita pun bukannya sempurna, tapi semoga dengan ingatan yang saya kongsikan ini dapatlah menjadi ingatan untuk kita memperbaiki diri kita juga dalam mendidik anak-anak. Sama-sama kita bentukkan anak dengan acuan yang baik. Semoga bermanfaat.


Post a Comment

 
Top