0
Bismillah.

Ibu bapa adalah guru yang paling dekat dan terawal untuk anak-anak, bukannya guru-guru di taska mahupun tadika. 

Saya merupakan seorang anak kepada seorang guru yang telah pencen daripada kerjaya guru di sepanjang kerjayanya. Saya banyak mendengar dan melihat sendiri pengalaman ibu saya yang menangani masalah anak-anak murid di sekolah rendah yang jauh ketinggalan daripada rakan-rakan sebayanya yang lain, malah ada juga yang tidak tahu cara memegang pensil dengan betul. Di manakah peranan ibu bapa dalam hal sebegini? Apakah masih terdapat ibu bapa yang langsung tidak menghiraukan keupayaan serta perkembangan anak-anak mereka? Kadang-kadang kita rasa sedih sangat melihat anak-anak ini seperti diabaikan ibu bapa. Sepatutnya pada usia sebegitu, mereka telah diberi pendedahan awal dan bukannya meletakkan sepenuh tanggungjawab kepada guru-guru di sekolah.

Ibu bapa yang berupaya menjadi guru di rumah sememangnya sesuatu yang amat digalakkan. Namun, saya melihat terdapat beberapa kesilapan ibu bapa dalam mendidik anak-anak di rumah. Antaranya :

1) Pertama sekali adalah tidak ingin berusaha menjadi guru kepada anak-anak. Seperti yang saya telah terangkan, anak-anak seolah-olah terabai dan ibu bapa meletakkan tanggungjawab mendidik sepenuhnya kepada guru-guru di taska, tadika mahupun sekolah rendah. Kebiasaannya hal ini berlaku apabila ibu bapa terlalu sibuk ataupun tidak peka dengan tanggungjawab mendidik.

2) Ibu bapa tidak berikan galakan sebaiknya kepada anak-anak. Anak-anak yang masih kecil sepatutnya tidak boleh disebutkan kesalahan mereka kerana mereka baru di peringkat mencuba. Ibu bapa tidak boleh menganggap anak-anak boleh pandai dengan baru beberapa kali diajar. Adalah tidak adil untuk ibu bapa meletakkan harapan yang terlalu tinggi. Sebaliknya, ibu bapa harus terus berikan galakan dan pujian walaupun anak masih belum pandai. Tidak kira lah dalam aktiviti menyusun blok, menulis, mewarna, bercakap, atau sebagainya. Asalkan anak mahu mencuba, itu sudah cukup baik.

3) Ibu bapa tidak cuba merangsang anak-anak dengan aktiviti-aktiviti yang boleh merangsang otak dan minda anak-anak. Pada usia bayi dan kanak-kanak, mereka sebaiknya diberi peluang bermain dan mencuba pelbagai perkara kerana dari situ mereka akan mempelajari kemahiran kognitif, psikomotor dan memahami perkataan serta percakapan.

4) Ibu bapa tidak meluangkan masa bermain bersama anak-anak. Sedangkan pada waktu mereka berusia 0-5 tahun adalah usia emas untuk anak-anak dan pada waktu itulah otak mereka berkembang dengan paling pesat dan sikap mereka mula terbentuk dengan cara didikan ibu bapa. Malah, anak-anak suka meniru apa yang mereka lihat daripada kelakuan ibu bapa. Sekiranya ibu bapa tidak menunjukkan contoh dan sikap yang baik, maka dari situlah anak-anak akan menunjukkan sikap yang tidak baik juga dan ibu bapa akan melihatnya ketika anak-anak makin membesar. 

Semoga dengan perkongsian ini, ibu bapa akan lebih menyedari akan kepentingan pendidikan awal ibu bapa dari rumah lagi ketika usia anak-anak belum memasuki taska, tadika ataupun sekolah rendah. Anak-anak anda, tanggungjawab anda. Semailah sikap dan kemahiran dalam diri anak-anak sejak mereka kecil lagi dan rangsang lah mereka untuk belajar apa jua perkara. Jangan abaikan mereka pada usia kanak-kanak mereka, supaya anda tidak diabaikan apabila usia anda meningkat lanjut nanti.

Post a Comment

 
Top