0
 
Bismillah.
 
Mungkin terdapat ibu bapa yang bertanyakan soalan yang sedemikian. Tatkala melihat anak-anak mula membesar dan semakin bersiap sedia untuk ke taska atau tadika, mula lah ibu bapa berasa prihatin dengan bahan-bahan pendidikan anak-anak, dan mula lah mencari buku-buku yang bersesuaian untuk anak-anak mula belajar membaca. Atau mungkin sesudah anak-anak memasuki taska atau tadika dan mula belajar membaca daripada guru-guru tadika, maka ibu bapa berasa perlunya mereka berusaha membantu anak-anak mereka belajar membaca.
 
Ini adalah langkah yang baik. Kesedaran ibu bapa untuk membantu mengajar anak membaca adalah amat disarankan. Tetapi sebenarnya, tanggungjawab memberikan pendidikan dan mengajar anak-anak bukannya terletak di bahu guru-guru sebagai pengajar yang utama. Tetapi ibu bapa lah yang sepatutnya yang paling awal mengajar anak-anak membaca, bukannya guru-guru tadika.
 
Sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud :
 
“Sesungguhnya sebahagian daripada hak anak ke atas orang tuanya ialah memberi nama yang baik, mengajarnya menulis membaca dan menikahkannya jika (anaknya itu) sudah dewasa.”
 
(Hadis Riwayat Ibn Hajar dan al-Baihaqi daripada Abu Hurairah)
 
Maka bilakah agaknya yang sepatutnya ibu bapa mula mengajar anak-anak mereka membaca? Adakah sebelum anak-anak memasuki Darjah 1? Sebelum memasuki Tadika? Taska? Atau apabila anak-anak sudah mula bercakap?
 
Menurut Penulis Buku Ajar Anak Kecil Membaca Awal, Puan Nik Eliani Nik Nawi yang telah 20 tahun berkecimpung di dalam dunia pendidikan awal kanak-kanak dan juga yang telah menghasilkan Siri Cepat Membaca Bacalah Anakku (Bahasa Melayu) dan ReadEasy Phonics (Bahasa Inggeris), ibu bapa seharusnya memulakan langkah pertama untuk mengajar anak-anak mereka membaca pada waktu yang seawal mungkin iaitu seawal mereka telah mendapat berita gembira bakal menimang cahaya mata.
 
Bagaimana tu? Caranya adalah dengan memperbanyakkan membaca ayat-ayat suci Al-Quran sewaktu mengandung. Apakah kaitannya? Tahukah anda bahawa penghasilan sel neuron otak fetus telah bermula seawal persenyawaan sehingga berumur 10 minggu dan ia berkembang pada kadar yang begitu pesat. Dengan mengamalkan membaca Al-Quran, seorang ibu dapat mewujudkan suasana tenang kepada kandungan untuk kesejahteraan ibu dan kandungan. Semoga bacaan Al-Quran seorang ibu sewaktu mengandung itu dapat mengiringi pertumbuhan yang baik dan pesat anak di dalam kandungannya, Insya Allah.
 
Selain itu, amalkan pemakanan yang kaya dengan protein untuk membantu penghasilan sel otak yang pesat. Lebih-lebih lagi sebahagian besar daripada otak terbentuk daripada protein. Antara makanan yang kaya dengan protein adalah susu, tofu, ikan, kekacang, telur, daging lembu dan daging ayam. Begitu juga dengan makanan seimbang lain seperti karbohidrat, lemak, vitamin, garam galian dan meminum banyak air. Asid folik juga penting diambil semenjak sebelum mengandung lagi bagi mengelakkan bayi mengidap spina bifida (penyakit tulang belakang yang membuat bayi lumpuh).
 
Fetus yang sihat bermula dengan pemakanan ibu yang baik dan seimbang. Apabila fetus sihat, ia akan mudah bertindak balas kepada rangsangan semasa di dalam kandungan dan juga setelah dilahirkan. Seterusnya menjadi anak yang lebih bijak. Insya Allah.
 
Semoga perkongsian ini bermanfaat buat para pembaca budiman. Saya juga sedang ingin berusaha mewujudkan suasana yang paling positif buat anak di dalam kandungan saya yang kini telah mencecah usia 7 minggu. Semoga cita-cita kita semua para ibu bapa berjaya.

Post a Comment

 
Top