0
Bismillah.
 
Setiap ibu bapa yang mempunyai anak-anak kecil di rumah tentunya pernah menghadapi rumah atau ruang tamu atau ruang bilik yang bersepah-sepah disebabkan perbuatan anak-anak. Walaupun si ibu telah berkali-kali mengemas atau mungkin telah berbuih mulutnya berpesan kepada anak-anak supaya mengemaskan kembali barang mainan, tentu arahan ibu jarang diendahkan, bukan?
 
Salah satu peraturan yang saya sendiri ikuti adalah jangan mengemas sewaktu anak sedang bermain dan jangan mengemas selagi anak-anak belum habis bermain. Tambahan pula anak saya yang berumur 2 tahun 3 bulan cukup marah jika dia melihat kami mengemas barang mainannya atau buku-bukunya. Sebaliknya dia hanya suka barang-barangnya terbiar bersepah.
 
Sebenarnya, barang mainan yang bersepah di rumah adalah tanda positif bahawa anak-anak kita aktif bermain dan aktif menggunakan otak kanan dan otak kiri mereka. Sebenarnya mereka sedang belajar sambil bermain, walaupun selalu menyakitkan hati kita melihat kawasan rumah yang bersepah.
 
Bertenang para ibu. Kemaslah ketika anak-anak telah habis bermain atau ketika mereka telah masuk tidur. Biarkan sahaja mereka bermain dan berikan ruang kepada mereka menerokai dunia mainan mereka. Anda juga dapat mengelak daripada meresa stress sekiranya menghalang anak-anak daripada bermain.
 
Walau bagaimanapun, janganlah ia menjadi alasan kepada kita supaya tidak mahu mengemas ruangan rumah kita yang bersepah. Kita juga yang akan pening nanti. Kemaslah rumah supaya ia dapat mewujudkan ruang gembira dan aman kepada seluruh isi rumah dan kepada tetamu kita yang mungkin bertandang.
 
Ketika mengemas, ibu bapa boleh mengajak anak-anak untuk turut sama menolong mengemas supaya dapat memupuk sifat rajin mengemas di kalangan anak-anak. Untuk menggalakkan anak-anak menolong, ibu bapa boleh mengajak dengan cara kreatif seperti membuat pertandingan siapa paling cepat mengemas atau siapa tolong mengemas, dia akan dapat hadiah. Tentu anak-anak akan bergembira. Ingat, akhlak anak adalah terbentuk daripada hasil didikan ibu bapanya di rumah.
 
Selamat mendidik anak-anak menjadi insan-insan yang mulia dan berakhlak! :-)

Post a Comment

 
Top