0
Assalamualaikum.. 

Apa khabar? Saya terjumpa artikel ini di Utusan Online. Saya rasa ia baik untuk dikongsi bersama ibu-ibu yang juga sedang menyusu seperti saya ni.

Petikan Akhbar Utusan Online pada tarikh 11 Disember 2014:

KOTA BHARU 10 Dis. – Kejadian bayi tersedak susu ibu biasanya akan berlaku sekiranya bayi tidak sihat ataupun akibat cara penyusuan yang tidak betul lebih-lebih lagi ketika ibu mengantuk.

Pakar Perunding Ka­nan Pediatrik dan Neonatalogi, Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Dr. Hasmawati Hassan berkata, bayi sakit mudah tersedak susu ibu kerana dijangkiti kuman dan keadaan fizikal yang lemah sehingga menyebabkan susu dihisap masuk ke paru-paru dan menghalang saluran pernafasan.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penyusuan Susu Ibu HRPZ II berkata, sesetengah ibu bagaimanapun mengambil mudah dan tidak menyedari tindakan mereka menyusukan anak ketika bayi kurang sihat terutama yang berumur satu bulan ke bawah adalah berbahaya.

“Apabila kita dapati bayi kita tidak sihat sama ada batuk atau selesema kita mesti segera bawa dia berjumpa doktor tidak kiralah pada jam berapa pun tetapi ada ibu bapa sering melengahkan perkara ini.

“Kadang-kadang ibu tidak beri susu waktu siang kerana alasan susu kurang tetapi bila beri pada waktu tengah malam bayi pada masa itu sudah letih dan fizikalnya lemah menyebabkan mudah tersedak.

“Pada waktu malam juga ibu biasanya menyusukan anak secara berbaring kerana mengantuk padahal ibu sepatutnya berada keadaan sedar sepenuhnya serta bangun menyusu secara duduk supaya peka dengan tindak balas bayi,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sementara itu, Dr. Hasmawati berkata, bagi mengelak kejadian tersedak, langkah pa­ling utama mesti diberi perhatian para ibu adalah memastikan bayi mereka sendawa selepas minum susu.

Menurutnya lagi, bayi yang mengalami masalah seperti sakit jantung juga berisiko tersedak susu ibu, justeru pemeriksaan kesihatan bayi adalah sangat penting.

“Bayi yang tersedak akan berubah warna kepada kebiru-biruan dan tempoh masa antara 10 dan 15 minit adalah masa paling kritikal untuk membawanya mendapatkan rawatan ke hospital.

“Kes bayi tersedak susu biasanya berlaku pada waktu malam, sebab itu saya nasihatkan dan seru semua ibu janganlah menyusukan anak ketika mengantuk, apatah lagi berbaring menyusu, kita tidak akan tahu apa jadi kepada anak kita,” katanya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/gaya-hidup/kesihatan/elakkan-menyusu-ketika-mengantuk-1.35094#sthash.T6W81O3U.dpuf

===

Anda bagaimana? Saya sebenarnya selalu menyusukan bayi saya dalam keadaan berbaring. Sebab utama adalah kerana saya ingin berehat bersama sementara menunggu bayi kenyang. Tapi saya tak lupa untuk sendawakan bayi sebaik sahaja dia kenyang. Walaupun bayi saya dah terlelap sekalipun, saya akan angkatkannya dan sendawakan. Biar lah dia terjaga sekalipun. Yang paling penting adalah dia tak tersedak. 

Syukur lah saya memang ada attend kelas penyusuan asas kepada bakal-bakal ibu dan dua kali juga menghadiri kelas antenatal yang dianjurkan oleh hospital-hospital untuk bakal ibu dan bapa. Ada macam-macam posisi yang baik untuk ibu dan bayi mengikut keselesaan masing-masing. 

Lakukan sesuatu dengan ilmu. Jangan sambil lewa. Kalau tak pasti, jangan segan untuk bertanya kawan-kawan yang dah berpengalaman. Ataupun, untuk pandangan yang lebih baik, cari pakar laktasi yang berdekatan dengan anda untuk bantu segala kemusykilan anda ya.


Post a Comment

 
Top