0
Assalamualaikum

Apa khabar semua pembaca blog saya yang budiman? Semoga baik dan sihat hendaknya.

Sekarang ni kecoh tentang fenomena El-Nino yang melanda negara kita Malaysia. Kesannya kita mengalami kekurangan hujan dan cuaca kering dan amat panas. Tentu kita semua perasan kan dengan perubahan cuaca ni? Panas sangat. Jadi seeloknya, kurangkan aktiviti di luar ketika panas terik terutamanya anak-anak yang masih kecil. Kenapa? Sebab kanak-kanak dan anak-anak kecil mungkin ada yang mempunyai antibodi yang lemah. Kesan terkena panas terik dalam satu tempoh jangkamasa boleh menyebabkan kenaikan suhu badan atau demam.

Pada masa yang sama, bulan Januari ni adalah bulan kanak-kanak memulakan persekolahan. Jadi kadang-kadang memang terpaksa berada di luar bangunan kan? Alhamdulillah anak saya jenis yang jarang demam. (Anak saya berusia 4 tahun. Tahun ni nak masuk 5 tahun). Hari-hari saya pastikan anak saya makan buah. Sama ada buah epal atau buah oren. Wajib!! Biarlah anak saya kuatkan sistem antibodi badannya sendiri. Kesannya Alhamdulillah memang jarang demam. Pernah anak saya ni demam tahun lepas, kerana terjangkit dengan adiknya yang nak tumbuh gigi. Mujur demam sehari sahaja. Tak la melarat. Yang pasti, demam ni bukan la bermakna anak kita tak sihat tapi sebenarnya tubuh badannya sedang berlawan dengan penyakit. Jadi berikan masa untuk anak kita sembuh daripada demam dan bina antibodi sendiri.

Soalnya, ada ibu yang bertanya, bagaimana ya kalau kita nak kuatkan antibodi anak-anak kita?? Sebab ada anak yang jenis mudah demam. Tiap-tiap bulan demam. Selsema, batuk dan lain-lain.


Jadi di sini saya ingin kongsikan jawapan doktor tentang bagaimana menguatkan antibodi anak.

Secara umumnya, terdapat beberapa perkara yang puan boleh lakukan bagi membantu perkembangan sistem imun yang sihat. Di antaranya adalah:
  1.     Susu ibu adalah merupakan sumber perlindungan yang terbaik bagi bayi di bawah usia enam bulan. Ini kerana susu ibu mengandungi komponen sistem imun seperti sel darah putih dan Immunoglobulin A bagi perlindungan bayi anda.
  2.     Mengamalkan pemakanan yang seimbang dan penuh nutrisi. Pastikan pengambilan sayur dan buah setiap hari, di samping makanan yang lain. Berdasarkan hasil kajian yang lepas, didapati jangkitan kuman lebih sering berlaku pada mereka yang mengalami kekurangan zat makanan seperti kwashiorkor atau marasmus.
  3.     Salah satu usaha yang boleh dilakukan adalah dengan memberi vaksinasi kepada anak anda mengikut jadual yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Melalui proses vaksinasi, sistem pertahanan tubuh anak anda akan dirangsang sebagai persediaan bagi menghadapi jangkitan yang sebenar, melalui penghasilan sel antibodi memori.
  4.     Persekitaran yang bersih dan selamat. Pastikan bekalan air yang bersih dan air minum perlulah dimasak terlebih dahulu. Anda perlulah membuat pilihan yang bijak semasa membeli makanan yang dijual diluar. Jadikan kebersihan sebagai salah satu faktor utama semasa membuat pilihan. Cuba elakkan keadaan ‘overcrowding’, di mana terlampau ramai orang tinggal serumah. Baik di rumah anda mahupun di tempat jagaan kanak-kanak semasa anda pergi bekerja. Risiko pendedahan penyakit meningkat dengan gejala ‘overcrowding’. Malah kualiti penjagaan bagi anak anda juga mungkin terjejas jika nisbah antara penjaga dan kanak-kanak di nursery tidak seimbang.
  5.     Satu lagi perkara yang sering khalayak umum terlepas pandang adalah tentang bahayanya asap rokok. Didapati situasi “secondhand smoker’ di mana bayi atau kanak-kanak tinggal bersama dengan ibubapa atau orang dewasa yang merokok akan terdedah kepada asap rokok secara tidak langsung. Berdasarkan hasil kajian epidemiologi, risiko bagi kanak-kanak mengalami jangkitan kuman pneumonia dan kematian mengejut (Sudden Infant Death Syndrome) adalah lebih tinggi dikalangan mereka yang terdedah dengan gejala ‘secondhand smoker’.2

Rujukan :
  •     Pneumonia Fact Sheet, WHO. Dimuat-turun daripada http://www.who.int/mediacentre/factsheets/fs331/en/ pada 12/11/2014.
  •     Sears, W. (2004, 08). Keeping your baby healthy. Baby Talk, 69, 39-40,42,44. Dimuat-turun daripada http://search.proquest.com/docview/232905071?accountid=12753 pada 12/11/2014.
Kredit :
Keratan artikel ini berasal daripada www.doktorbudak.com

 ==

 Semoga bermanfaat. Bertindak mencegah demam itu lebih baik daripada merawat demam.

Post a Comment

 
Top