0
Teks : Wan Syahida Kahar

Ketika anda pergi ke kedai, mana satukah yang menjadi pilihan anak-anak anda? Adakah buku atau mainan? Mungkinkah kedua-duanya sekali? Bagaimana pula reaksi anda dengan pilihan anak?

Minat anak anda atau apa yang dipilih anak anda adalah bergantung kepada sebanyak mana pendedahan yang telah anda sebagai ibu bapa berikan kepada anak-anak sama ada mainan atau buku. Sekiranya sudah memang dari awal usia anak anda, anda telah pun selalu menunjukkan buku-buku dan mengujakan mereka dengan bahan-bahan bacaan maka tidak akan hairan sekiranya itu yang mereka akan pilih ketika ke kedai. Namun sekiranya mainan yang kerap anda berikan kepada mereka selama ini dan mainan itu yang membuatkan mereka teruja, maka itulah yang akan dipilih mereka ketika ke kedai.

Jadi bagaimana? Jika ya mereka memilih buku maka tahniah! Anda di landasan yang positif seandainya itu yang memang anda mahukan. Tetapi sekiranya mainan lebih menjadi pilihan dan anda tidak sukakannya, maka anda perlu melakukan sesuatu supaya minat mereka beralih kepada meminati buku. Memang diakui bahawa zaman ini, amat mencabar untuk mengajak anak-anak meminati buku-buku kerana dunia digital yang kian menguasai. Maka lebih banyaklah pengaruh yang harus kita sebagai ibu bapa berikan jika ingin mengalih minat mereka.

Untuk mendorong anak-anak memilih bahan-bahan bacaan, semuanya perlu bermula dari kita sendiri sebagai ibu bapa. Tanya diri kita sendiri, adakah kita sendiri suka banyak membaca? Suka membeli buku dan suka membacakan anak-anak buku? Adakah kita sendiri sanggup berbelanja lebih untuk membeli buku-buku kanak-kanak yang menarik dan mengembangkan minda? Buku-buku yang berkualiti dan menarik biasanya harganya agak mahal lebih-lebih lagi yang 'imported'. Tapi itu yang lebih berbaloi dan baik untuk masa depan anak-anak anda.

Kita boleh wujudkan suasana atau persekitaran membaca di rumah dengan mewujudkan ruang bacaan atau perpustakaan kecil di rumah. Jadikan diri anda sebagai ikon pertama anak-anak dan biarkan anak-anak sering melihat anda suka membaca. Lazimnya anak akan gemar buat apa yang ibu bapanya buat serta menyukai apa yang ibu bapanya suka. Banyakkan juga membacakan anak-anak buku kanak-kanak. Pilih buku-buku yang sesuai dengan usia mereka dan mempunyai banyak gambar yang menarik untuk dilihat agar dapat mengujakan mereka. Bawa juga buku-buku mini di dalam beg atau di dalam kereta supaya anda dapat memanfaatkan masa mereka dan masa anda.

Aktiviti membaca juga dapat menghabiskan masa yang berkualiti dengan anak anda. Cuba cari masa yang paling sesuai untuk membaca bersama anak anda. Tak perlu terlalu lama untuk membaca. Kebiasaannya pada waktu malam sebelum tidur. Namun pastikan tiada gangguan telefon, televisyen atau aktiviti lain sewaktu membaca agar anak anda dapat memanfaatkan waktu membaca itu dengan sepenuhnya.

Sambil membacakan buku untuk anak, anda juga boleh meluangkan masa untuk mengajar anak membaca. Jadikan ia sesi pengukuhan dan dorongan daripada anda sendiri agar anak anda mendapat perhatian yang sepenuhnya. Tak perlu jadikan ia sesi menguji kemampuan anak. Jadikan ia sesi yang menyeronokkan. Ajarkannya dengan penuh kasih sayang.

Persiapkan sedikit peruntukan untuk membeli buku pada setiap bulan atau dua bulan sekali atau mengikut jangka masa yang dirasakan sesuai buat anda. Jadikan aktiviti mencari buku di kedai sebagai aktiviti yang digemari anak. Mungkin anda boleh menjanjikan buku sebagai hadiah sekiranya anak berjaya melakukan sesuatu dengan jayanya di rumah. Bantu anak anda memilih buku yang berilmiah dan baik untuk perkembangan fikirannya. Cuba dedahkan anak kepada pelbagai jenis buku daripada pelbagai jenis ilmu atau cerita.

Mungkin anda tidak cukup bajet untuk membeli buku. Anda boleh ke perpustakaan untuk menjimatkan kos. Malahan di perpustakaan terdapat lebih banyak pilihan untuk anak-anak anda. Jadikan lawatan ke perpustakaan sebagai satu kekerapan pada setiap bulan untuk meminjam buku yang diminati anak dan yang bersesuaian dengannya.

Cuba galakkan anak untuk membaca apa sahaja yang dilihat di persekitarannya. Ketika melalui kedai-kedai di jalanan sewaktu menaiki kereta, ketika melihat papan-papan tanda dan papan kenyataan di bandar atau di kampung, ketika melihat kereta yang lalu di hadapan dan di tepi atau pun ketika melihat rancangan di televisyen. Bacakan untuk anak sekiranya mereka tidak memahaminya. Secara tidak langsung, kita akan memupuk minat anak terhedap dunia percetakan dan literasi.

Memupuk minat anak terhadap buku harus diterapkan seawal yang boleh. Sejak mereka masih bayi ataupun sejak mereka berada dalam kandungan lagi. Ibu dan ayah boleh membaca kepada anak di dalam kandungan walaupun sekejap atau satu muka surat. Ketika anak masih bayi pula, berikan kepada mereka buku kain atau 'softbooks' yang selamat untuk mereka pegang dan gigit. 'Softbooks' juga sesuai kerana sifatnya yang lembut dan ringan.

Apa yang penting adalah anak dapat mendengar serta merasa seronok ketika ibu dan ayahnya membaca untuknya. Semua ini dapat menanam kecendurangan yang positif terhadap buku. Jika amalan membaca ini dimulakan seawal usia anak anda, dia akan mempunyai kecenderungan yang seimbang terhadap buku dan mainan. Namun sekiranya anda dedahkan anak kepada mainan dahulu, berkemungkinan buku-buku akan kurang diminatinya.

===

Kamus Bergambar Upin & Ipin. Keluaran terbaru daripada Upin & Ipin!



Kamus Bergambar Upin & Ipin ini mempunyai 3 bahasa (Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab), memuatkan sebanyak 70 topik dan lebih 500 patah perkataan serta mempunyai 74 muka surat termasuk kulit. Bersaiz 27cm x 21cm.

Hanya berharga RM10 (tak termasuk kos pos ke SM atau Sabah/Sarawak).

Hubungi kami di www.facebook.com/messages/IslamicKidsShop atau SMS/Whatsapp 012-6753078 untuk pertanyaan stok dan order.

Post a Comment

 
Top