0


Teks : Wan Syahida Kahar

Bismillah.

Assalamualaikum. Kepada pembaca blog yang mungkin pertama kali menyinggah dan membaca tulisan saya, untuk pengetahuan, saya telah mula mengajar anak kecil saya menghafal surah-surah pendek di dalam Al-Quran bermula ketika umurnya 2 tahun. Pada masa entry ini ditulis, anak saya telah pun berumur 3 tahun 0 bulan. Setakat ini, anak saya baru saja menghafal Surah Al-Fatihah dan surah-surah pendek bermula dari Surah An-Naas sehingga At-Takathur. Surah yang baru yang sedang saya ajarkannya sekarang adalah Surah Al-Qari'ah. 

Dengan rendah hati saya memang akui, saya tidak lah hebat mengajar anak saya menghafal. Anak saya sama seperti anak-anak lain yang suka bermain dan banyak kerenahnya. Kadang-kadang ada saja ragam dan degilnya. Biasalah budak-budak. Jadi, dalam usaha kita hendak mendidiknya menjadi huffaz dari usia kecil, usahlah kita menidakkan sifat semulajadi mereka yang suka bermain seperti budak-budak biasa yang lain.

Ada ke anak-anak kecil yang boleh berdisiplin, duduk dan buka muqaddam atau mushaf Al-Quran dan baca dan fokus menghafal Al-Quran? Orang dewasa boleh la macam ni. Tak boleh nak disamakan dengan anak-anak kecil. Oleh itu kesungguhan kita sebagai ibu bapa memang perlu sangat-sangat. Apatah lagi KESABARAN yang amat tinggi. Anda nak anak yang berjaya menghafal, anda juga perlu lakukan yang terbaik dan bersungguh-sungguh. Memang kita takkan dapat buat anak kita untuk tetap fokus menghafal selama sejam, 30 minit, ataupun 15 minit. Kalau dapat ajar anak kita 5-10 minit pun dah bagus sangat dah. Yang penting adalah kekerapan anda mengajak dan mengajarnya. 

Walaupun bab nak ajak anak fokus adalah sukar, tapi kelebihan yang ada pada anak kita adalah dia mudah menghafal. Dia masih kecil dan otaknya masih ibarat 'sponge' yang amat mudah menyerap segala apa yang dia dengar, asalkan ianya didengari secara berulangkali. Jadi tanggungjawab anda sebagai ibu bapa hanyalah untuk mengulang dengarkan anak anda dengan bacaan ayat-ayat Al-Quran. Latihkan dia juga untuk mengikut anda membaca ayat-ayat satu persatu dan ulang-ulangkannya sehingga dia boleh mengulanginya sendiri. Mulakan dengan menceraikan ayat-ayat kepada sebutan yang pendek-pendek dan lama-lama sambungkan ia menjadi ayat untuk dia ikut. 

Memandangkan anak saya susah nak fokus menghafal Al-Quran sahaja dalam satu-satu masa, saya sentiasa membiarkan sahaja dia untuk mengikut saya membaca ayat-ayat Al-Quran sambil dia bermain. Tak kira lah bermain teddy bear ke, main puzzle, tengok tab ke, main apa-apa saja. Lompat sana ke sini ke. Kadang berlari depan TV atau lompat-lompat atas kusyen. Tapi mulutnya tetap ikut baca. Kadang-kadang sambil tersengih tergelak. Semua ni memang berselang-seli lah. Jadi, sangatlah perlu bersabar ya ibu ibu. :-)

Adakalanya memang anak saya suka membelek mushaf Al-Quran di hadapannya. Konon-konon tengah baca Al-Quran la tapi sebenarnya tak pandai baca lagi pun. Tapi sekejap je. Kemudian dia akan sambung main lagi. Huhu. Macam tu lah nak ajar anak kecil. 

Apa pun, yang penting adalah kesungguhan, kesabaran dan istiqamah. Semoga berjaya mendidik anak-anak menjadi huffaz cilik. :-)

Post a Comment

 
Top