0
Teks : Wan Syahida Kahar

Bismillah.

Assalamualaikum. Beberapa hari ini, saya diuji dengan sakit demam panas, pening dan sakit kepala, lemah-lemah badan dan tulang sendi dan juga selsema serta batuk-batuk pada waktu sarat-sarat mengandung ini. Alkisahnya hanya suami saya yang mula-mula demam bermula 1 Mei yang lalu kerana terkena air hujan sewaktu menziarahi saudara yang meninggal di Johor. Dek kerana kesibukan membantu tuan rumah menyiapkan persiapan tahlil, menyiapkan makanan dan sebagainya, suami saya tak sempat pun nak mandi dan membasuh rambut. Pulangnya kami ke KL, bermula lah suami saya sakit kepala dan demam. Kemudian menjangkiti anak saya. Mujur anak hanya mengalami demam. Kemudian setelah suami saya sembuh, saya pula yang demam. Allahu, ujian bagi saya.

Alhamdulillah suami banyak membantu menguruskan hal-hal rumahtangga termasuk memasak, mengemas, menguruskan anak dan membasuh, menyidai serta melipat baju. Awal-awal lagi saya meminta maaf kepada suami kerana saya langsung tak berdaya untuk bangun untuk membuat apa-apa kerja rumah. Saya hanya bangun untuk ke tandas, solat dan membuat susu untuk anak apabila anak meminta. Selebihnya saya hanya mampu terbaring kelesuan. Yang menjadi cabarannya, sewaktu kita mengandung dan mengalami demam, batuk, selsema, bukan sebarangan ubat yang boleh kita makan. Lebih-lebih lagi ubat-ubatan yang membawa kesan mengantuk. Jangan makan ya ibu-ibu. Begitu juga dengan Panadol. Jika boleh, elakkanlah. Carilah alternatif yang alami dengan meminum banyak air, memakan buah-buahan yang kaya dengan Vitamin C ataupun mengambil supplemen Vitamin C sahaja. Biarkan sahaja badan kita yang menghasilkan antibodi bagi melawan penyakit. Sementara itu, moga kita dapat bersabar dengan sakit-sakit badan, sakit kepala dan lain-lain. 

Saya selalu percaya, bersama setiap kesusahan itu akan ada kemudahan. Janji Allah itu pasti. Yang penting, bayi di dalam kandungan kita mesti pastikan ia sentiasa aktif bergerak seperti biasa. Sekarang saya baru dalam minggu ke-34. Sudah mula terasa lenguh-lenguh kaki dan sakit belakang bahagian tulang lumbar. Mungkin saya kurang meminum susu pada waktu batuk-batuk ini. 

Sekian dahulu. Doakan saya kembali sihat dan cergas ya.

Post a Comment

 
Top