0
Teks : Wan Syahida Kahar

Bismillah.

Dalam suasana kemeriahan ibu bapa membawa anak-anak pada hari pertama persekolahan, sangat kasihan saya melihat kes-kes di dalam khabar berita di mana terdapat anak-anak ini yang tiba-tiba saja jatuh pengsan ketika perhimpunan pagi di sekolah. Puncanya kerana tidak bersarapan. Mungkin kerana tidak sempat kerana terlalu tergesa-gesa, mungkin kerana bangun lewat untuk ke sekolah, mungkin kerana ibu bapa yang tidak begitu prihatin tentang kepentingan bersarapan pagi ini atau mungkin kerana mereka fikirkan sarapan pagi boleh ditangguh hingga ke waktu rehat nanti.

Sarapan pagi ini adalah sangat penting kerana ia berperanan membekalkan tenaga kepada tubuh badan untuk melakukan aktiviti harian. Anak-anak memerlukan tenaga dan badan yang sihat untuk melangkah pergi ke sekolah, agar otak dan minda mereka dapat berfungsi dengan baik dan supaya kelaparan tidak mengganggu konsentrasi mereka di dalam bilik darjah. Malah dengan bersarapan, daya tumpuan anak-anak akan dapat ditingkatkan seterusnya mereka akan lebih mudah untuk memahami dan mengingati apa yang diajar guru-guru.

Seandainya ibu bapa terlalu sibuk atau mungkin sudah terlewat untuk menghantar anak ke sekolah atau anak-anak sudah hampir tertinggal bas, ibu bapa boleh cuba menyediakan sarapan pagi yang ringkas dan mudah sebagai bekal anak-anak untuk mereka menikmatinya walaupun di dalam kenderaan, di dalam bas atau sewaktu menanti ketibaan bas. Paling mudah, bawakan beberapa keping roti yang disaluti jem dan susu kotak agar perut anak-anak tidak dibiarkan kosong.

Seandainya masih sempat untuk bersarapan di rumah, hidangan telur juga adalah baik. Roti telur, telur masak mata kerbau, telur rebus, telur dadar dan sebagainya boleh dinikmati bersama-sama roti bakar atau roti sahaja. Telur mengandungi vitamin dan mineral yang baik untuk memberi nutrisi yang diperlukan oleh anak-anak anda. Selain itu, anda boleh juga menyediakan bijiran sarapan seperti Coco Crunch, Quaker Oat atau Cornflakes bersama dengan susu. Inilah sarapan yang paling mudah, ringkas dan sedap pula. Mudah untuk ibu bapa dan disukai kanak-kanak.

Ibu bapa juga boleh menyediakan sandwich, roti dengan tuna, mihun goreng, mee goreng, nasi goreng, lempeng bercicahkan madu/coklat/jem strawberi atau cekodok sebagai sarapan atau bekal anak-anak seandainya sempat untuk menyediakannya. Mungkin ibu boleh bersiap sedia menyiapkan segala bahan-bahan yang diperlukan untuk masakan pada malam sebelumnya agar esok pagi tidak akan tergesa-gesa menyiapkan hidangan sarapan yang menyelerakan. Contohnya ayam atau daging sebagai perencahnya telah siap dipotong, sayur-sayuran telah siap dihiris, tepung untuk lempeng telah siap dibancuh, tupperware anak telah siap dibasuh dan disusun dan sebagainya.

Sibuk-sibuk menyiapkan sarapan, jangan lupa pula untuk membancuh minuman. Ibu bapa boleh menyediakan air berasaskan susu seperti air susu bermalt coklat, susu kotak UHT daripada susu penuh krim, susu segar atau susu kambing, sama ada yang berperisa coklat atau strawberi kesukaan anak-anak, ataupun air jus buah-buahan yang dikisar sendiri. Jus buah-buahan yang sedia ada dijual di pasaraya kemungkinan mengandungi kandungan gula yang tinggi yang tidak bagus untuk anak-anak dan juga orang dewasa. Oleh itu ibu bapa perlu lebih berhati-hati. 

Selamat menikmati sarapan pagi buat anda dan anak-anak. Pada waktu sarapan, ia juga boleh menjadi suatu perjumpaan ringkas keluarga sebelum masing-masing memulakan hari yang penuh dengan pelbagai aktiviti. Semoga sarapan pagi menjadi suatu rutin yang diamalkan oleh anda dan seiisi keluarga.

Post a Comment

 
Top