0

Setiap ibu bapa tentunya inginkan anak mereka membesar menjadi seorang yang bijak. Tapi bagaimanakah peranan yang ibu bapa perlu mainkan? Anak yang bijak tidak hanya bergantung kepada faktor genetik. Tetapi ibu bapa boleh merangsang otak dan minda anak agar aktif dan kreatif berfikir. Dengan rangsangan yang bersesuaian dan galakan ibu bapa yang membina, minda anak-anak dapat berkembang dengan positif, seterusnya anak-anak dapat membesar dengan bijak.

Mari lihat tips bagaimana ibu bapa boleh lakukan untuk merangsang anak-anak mereka agar menjadi anak yang bijak.

1. Belajar Muzik.


Mempelajari muzik dapat meningkatkan pembelajaran otak kanan. Ini kerana muzik diproses oleh otak kanan manusia. Kajian telah mendapati bahawa pelajaran muzik dapat meningkatkan IQ dan prestasi sekolah seorang anak. Bagi orang Islam, tidak hairanlah apabila anak yang menghafaz Al-Quran sejak kecil, mereka lebih mudah untuk menyerap ilmu. Para cendekiawan Islam dan ulama' silam mengutamakan penghafazan Al-Quran mendahului ilmu-ilmu yang lain kerana menyedari kepentingan dan hikmah yang dibawa Al-Quran. Apabila anak-anak membesar dengan menghafaz Al-Quran, otak mereka berkembang dengan ayat-ayat Al-Quran tersimpan di dalam memori dan fikiran, menghasilkan otak yang bijak dan pintar. 

Pernahkah anda membaca berita artikel mengenai seorang pelajar tahfiz yang mati rentung akibat kebakaran di pusat tahfiz, tetapi otak mayatnya masih segar seperti orang yang masih hidup? Subhanallah. Baca Artikelnya di sini : Sinar Harian : Otak Pelajar Tahfiz Segar Seperti Hidup

2. Beri Minum Air Susu Ibu


Telah terlalu banyak penelitian ilmiah yang pernah dilakukan yang menunjukkan air susu ibu sememangnya merupakan air susu yang terbaik untuk bayi. Air susu ibu terdiri daripada pelbagai zat dan nutrisi, juga dapat meningkatkan daya tubuh badan bayi daripada mudah diserang penyakit, selain dapat meningkatkan kepintaran bayi. Seorang bayi yang meminum susu ibu lebih lama ternyata lebih pandai daripada bayi yang tidak meminum susu ibu. Tambahan lagi apabila bayi yang menyusu secara direct feeding daripada ibu mereka, akan berasa lebih tenteram dalam pelukan ibu sewaktu tempoh menyusu dan mewujudkan hormon gembira kepada bayi. Faktor-faktor ini menggalakkan pertumbuhan sihat bayi dari segi fizikal, mental dan emosi. 

3. Tingkatkan kesihatan


Kesihatan dan kepandaian anak adalah seiringan. Seorang anak yang sihat dan aktif dalam bermain, otaknya lebih kreatif dan mindanya lebih bijak agar lebih mudah untuk menerima ilmu dan bertindakbalas dengan sekeliling. Anak yang sihat akan lebih selesa menuntut ilmu dan bersemangat. Makanan memberi pengaruh yang besar terhadap perkembangan fizikal, jiwa, emosi dan minda. Bahkan otak juga tidak dapat berfungsi dengan betul sekiranya tidak dibekalkan makanan lebih daripada tempoh 20 jam. Dengan khasiat yang mencukupi, anak anda mampu bertindak dengan lebih cerdas, lebih bersemangat, lebih efisien dan yakin diri. Berikan anak-anak makanan sunnah yang sangat baik untuk menguatkan daya ingatan seperti kurma, madu, kismis, susu, kacang badam atau kekacang, buah tin, buah delima dan air zam zam. Insya Allah, mudah-mudahan terdapat banyak khasiat daripada makanan sunnah ini. 

"Wahai sekalian manusia! makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan; kerana sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu." - Surah Al-Baqarah : Ayat 168

"Sesiapa yang ingin menghafal Hadith hendaklah ia kerap memakan anggur kering.” - Imam Zuhdi.

4. Permainan


Permainan atau games dapat meningkatkan semangat bersosial, kreativiti anak serta semangat ingin berjaya, bahkan permainan dapat melatih anak untuk berfikir secara bijaksana serta melatih mereka membuat perancangan untuk mencapai sesuatu tujuan. Disebabkan terdapat banyak permainan masa kini yang pelbagai jenis yang mungkin mampu membuat pemainnya menjadi ganas, brutal dan malas berfikir, maka ibu bapa harus berperanan agar sentiasa mengawasi tindakan dan permainan yang anak-anak mereka main. Sebenarnya permainan boleh memberikan hasil yang positif sekiranya digunakan dengan cara yang betul dan bermain permainan yang menyihatkan dan berbentuk mendidik ataupun dipanggil sebagai 'educational games'. 

5. Menolak makanan ringan (junk food)


Kurangkan makanan ringan yang mengandungi gula dan garam yang tinggi serta berpantanglah daripada berbagai makanan yang berlemak tinggi atau junk food yang lain. Sebaliknya, banyakkanlah memakan makanan yang sihat dan bernutrisi tinggi agar dapat meningkatkan perkembangan intelektual dan motor-skill anak, tak kira berapa usia anak anda. Pastikan agar anak-anak memperoleh nutrisi yang secukupnya. Sebagai contoh, seorang anak harus mengambil sejumlah zat besi yang mencukupi untuk pertumbuhan otak. Sekiranya kurang jumlahnya, maka penghantaran impuls dari saraf ke otak akan menjadi lebih lemah. 

6. Memupuk rasa ingin tahu


Bagi anak-anak kecil, setiap perkara yang mereka lihat boleh menarik perhatian mereka. Lebih-lebih lagi apabila ibu bapa cuba mendorong anak mereka untuk melihat sendiri sesuatu objek yang pelik sambil bertanyakan mereka tentang objek itu. Ini dapat menggalakkan anak-anak untuk mempunyai pemikirannya yang tersendri dan menggalakkan mereka untuk menuntut ilmu pengetahuan. Berikan perhatian yang besar terhadap minat anak, perkenalkan perkara yang baru kepada mereka dan ajarkan mereka tentang perkara yang mereka tidak tahu. Semua ini merupakan cara yang baik untuk memupuk rasa ingin tahu dalam diri anak-anak.

7. Membaca


Sikap suka membaca semakin diabaikan seiring dengan kemajuan dan perkembangan teknologi. Membaca merupakan cara meningkatkan IQ seseorang anak dengan cara yang paling cepat dan efektif. Ibu bapa boleh membacakan buku cerita untuk anak, melawat ke perpustakaan pada hujung minggu atau menamahkan koleksi buku bacaan anak di rumah agar dapat memupuk minat membaca anak-anak.

8. Makan pagi


Kajian ilmiah telah menunjukkan bahawa seorang anak yang bersarapan pada pagi hari memiliki ingatan yang lebih baik, lebih mampu untuk menumpukan perhatian dan juga mampu belajar dengan lebih cepat. Pastikan anak-anak anda bersarapan pagi agar mereka kekal aktif dan bersemangat sepanjang tempoh belajar atau bermain. Makan pagi akan sangat membantu anak-anak dalam pembelajaran mereka.

9. Bermain permainan yang mengasah otak


Bermain catur, silang-kata, teka-teki, atau permainan lain dapat merangsang kepandaian anak. Sebagai contoh, games Sudoku dapat memupuk cara berfikir yang bijaksana dan mendorong sikap mahir menyelesaikan masalah. 

Selain daripada tips-tips di atas, sejak kecil lagi seorang anak harus selalu diajak bercakap, berfikir dan berkomunikasi bersama. Jalinkan persahabatan dengan mereka dengan penuh kasih sayang dan banyakkan bermain bersama mereka. Ajak mereka berjalan melihat alam, menghargai alam, binatang serta hidupan, dan wujudkan suasana ingin selalu belajar dan suka bertanya. Semua ini mampu meningkatkan IQ anak. 

Semoga anak-anak kita membesar mencintai ilmu. Tetapi terlebih dahulu, ibu bapa lah yang harus menunjukkan contoh yang baik serta mendorong anak-anak ke arah itu.

Post a Comment

 
Top