0

 Masyarakat kita telah berubah dengan begitu drastik sejak 50 tahun yang lalu kerana banyak dipengaruhi dengan kemajuan sains dan teknologi. Kanak-kanak menjadi lebih dewasa dengan lebih cepat dan orang dewasa pula kekal muda dengan lebih lama.

Masa seorang kanak-kanak pula semakin ketat dengan pelbagai aktiviti yang telah dijadualkan dan seringkali masa untuk bermain menjadi semakin sedikit! Sangat berbeza daripada generasi X dan generasi ibu bapa kita dahulu yang masanya lebih banyak tertumpu kepada bermain. Terutamanya bermain dan beraktiviti di luar dengan kehidupan yang lebih aktif. 

Terlalu banyak campur tangan dan unsur-unsur gangguan dalam kehidupan bermain kanak-kanak pada masa kini. Seperti bermulanya permainan gadget, permainan komputer, rancangan kartun, filem animasi, games dan lain-lain yang menggunakan alat elektronik dan sebagainya. Sedangkan, dalam dunia bermainlah seorang kanak-kanak itu mengenali diri mereka dan dunia di sekitar mereka. Melalui bermain jugalah kanak-kanak belajar untuk berinteraksi dan bersosial dengan kanak-kanak lain yang sebaya mereka, dan belajar mengatasi permasalahan konflik dengan orang lain. Melalui bermain, kanak-kanak dapat mempelajari kemahiran berbahasa dan berkomunikasi serta melatih koordinasi tangan, kaki dan badan mereka. Tambahan lagi, bermain dapat menggalakkan seseorang kanak-kanak itu untuk belajar berdikari, percaya akan diri sendiri, menggalakkan kreativiti dan menggunakan tenaga untuk kekal aktif! Ia sekaligus memberi peluang kepada kanak-kanak untuk melepaskan tekanan dan mewujudkan emosi positif.

Bermain adalah sangat mengujakan dan menceriakan. Cuba anda fikirkan betapa hebatnya keseronokan yang anda dapat rasakan apabila anda menyertai atau melakukan sesuai aktiviti yang anda benar-benar suka melakukannya. Sangat sangat menggembirakan bukan? 

Itulah maknanya bermain. Bermain adalah tentang berasa seronok dan gembira melakukannya. Apabila anda bermain, anda berasa seronok. Apabila anda seronok, anda ketawa. Kajian telah menunjukkan bahawa ketawa adalah kuasa yang berkesan dan cara yang paling mudah dan percuma untuk mewujudkan mood gembira dan psikologi minda yang baik. Apabila anda gembira, hormon endorphine akan terhasil dan melegakan stress seseorang. Oleh sebab itulah, bermain adalah sesuatu yang baik dan tidak merugikan. Ia meningkatkan kesedaran minda dan membantu anda memiliki emosi yang stabil. 

Disebabkan dengan cara bermainlah kanak-kanak dapat mengenali dunia di sekitar mereka, maka adalah penting untuk membiarkan mereka bermain dalam suasana yang selamat dan terasa dilindungi ketika bermain. Ibu bapa tidak seharusnya menghalang anak bermain. Sebaliknya menggalakkan mereka bermain dan memberikan jaminan kepada mereka bahawa mereka boleh bermain apa saja dengan gembira dan wujudkan suasana selesa kepada mereka ketika mereka bermain. Dengan itu mereka akan berasa gembira bermain dengan bebas dan sekaligus dapat mengatasi perasaan takut dalam diri mereka. Ia juga dapat mewujudkan sifat yakin diri dalam diri mereka kerana sentiasa diberi galakan yang secukupnya daripada ibu bapa.

Jadi berilah galakan kepada anak-anak anda bermain. Kerana dunia bermain dengan kanak-kanak tidak dapat dipisahkan. Beri peluanglah kepada mereka merasai dunia kanak-kanak yang penuh dengan keseronokan tanpa memikirkan apa-apa masalah kehidupan. Fikirkan sejenak dunia anda sewaktu kecil yang dipenuhi dengan pelbagai aktiviti mainan yang semakin banyak dilupakan oleh generasi kanak-kanak masa kini. Jadi fikirkanlah kerugian yang amat besar apabila anak-anak anda tidak diberikan galakan untuk bermain. Umur kanak-kanak hanyalah sekali. Jangan sia-siakan peluang mereka itu.

Post a Comment

 
Top